Artikel kat bawah nie sini link die..
Mengikut adat resam, menghantar belanja biasanya dijalankan terlebih dahulu dan berasingan dengan upacara akad nikah, tetapi pada zaman sekarang, menghantar belanja selalu dijalankan bersama dengan akad nikah dengan tujuan menjimatkan masa dan perbelanjaan.
Di antara barang-barang yang termasuk dalam kategori wajib bagi melengkapkan sesuatu hantaran adalah seperti berikut, dan hantaran tersebut akan turut sama diarak dengan mempelai sebelum bersanding.
• Wang mas kahwin dan belanja (ada yang menyerahkan wang mas kahwin tersebut terus ke tangan isteri selepas selesai upacara akad nikah) yang diletakkan di dalam dulang atau batil bertudung diperbuat daripada perak atau tembaga putih.
• Sebentuk cincin permata berbatu intan atau berlian yang diletakkan di dalam cembul atau kotak perak.
• 2 pasang kain dan sehelai baju dari jenis yang cukup baik dan berkualiti, dilipat di dalam talam perak atau tembaga putih bertudung.
• Beberapa jenis kuih juadah, yang setiap satunya diletak di dalam sebuah pinggan besar bertudung dan dihias beralaskan talam.
• Beberapa jenis buah-buahan yang segar disusun di dalam bekas atau talam ditudung.
• Tepak sirih atau pun perak atau tembaga putih yang diisi lengkap.
• Satu atau dua perenjis air mawar dan dua kaki dian atan lilin.
Semua barang tersebut akan dibawa setiap satunya oleh seorang pemuda dan diarak daripada rumah mempelai itu ke rumah pengantin perempuan bersama-sama dengan mempelai yang sudah siap berpakaian lengkap Melayu asli atau pakaian haji iaitu berserban dan berjubah bagi memulakan upacara Majlis Akad Nikah.
Mempelai dan rombongannya akan disambut oleh pihak pengantin perempuan dan mereka akan terus dibawa naik ke rumah. Semua barang hantaran akan diatur, biasanya di hadapan pelamin. Pelamin ialah suatu ruang yang telah disiapkan biasanya seminggu sebelum majlis perkahwinan berlangsung dan ia merupakan tempat di mana kedua-dua pengantin akan bersanding di hadapan semua tetamu.
Sebelum akad nikah dijalankan, wang belanja, sama ada dengan mas kahwinnya sekali atau tidak dan barang-barang hantaran, seperti cincin akan dihitung dan diperiksa oleh tuan kadi bersama dua orang yang dilantik sebagai saksinya bagi mewakili pihak perempuan.
Sekiranya ia bukan majlis akad, bererti tuan kadi tidak hadir sama di majlis tersebut, wang dan barang-barang yang dihantar akan diterima oleh seorang wakil dari pihak perempuan beserta dua orang saksi yang dipilih dari kalangan tetamu yang hadir di majlis tersebut.
Setelah selesai adat penerimaan kesemua wang dan barang-barang tersebut, tepak sirih, talam bunga rampai dan perenjis air mawar akan ditinggalkan di ruang tamu, manakala barang-barang hantaran yang lain akan dibawa masuk ke dalam bilik pengantin. Mempelai kemudiannya akan diminta duduk di atas sebidang tikar sila khas yang dihias indah untuk upacara akad.
Tuan kadi akan memulakan majlis dengan mendaftarkan nama mempelai itu terlebih dahulu, diikuti dengan menyatakan dan menyemak segala syarat-syarat yang dikehendaki dan akhir sekali membaca khutbah nikah dalam bahasa Arab & ade Tok Kadi yg bca dlm Bahasa Melayu.(Seram sejuk bagi org yg menjiwai khutbah nie...)
Setelah selesai khutbah nikah itu dibacakan, maka tuan kadi akan memanggil dua orang yang telah dipilih sebagai saksi di dalam buku daftar nikah untuk duduk berhampiran dengan mempelai. Tujuan saksi dipanggil adalah untk mendengar dan menyaksikan pengakuan lafaz nikah daripada tuan kadi kepada mempelai. Lafaz tersebut perlulah dibalas dalam satu nafas serentak dengan penyudah sebutan lafaz nikahnya apabila tangan mempelai itu digoncang oleh tuan kadi.
Tuan kadi akan memegang tangan kanan mempelai itu dengan tangan kanannya, atau lebih mudah lagi dikatakan berjabat tangan kanan, lalu dimulakan akad dengan melafazkan kata seperti berikut: “Hai polan bin polan, aku nikahkan dikau dengan polan binti polan, yang telah memperwakili ia akan daku dengan mas kahwin sebanyak $…. (tunai atau hutang) dan belanjanya sebanyak $….”. Sebaik sahaja perkatan yang akhir itu habis dilafazkan, tuan kadi akan menggoncang tangan mempelai tersebut dan dengan serta-merta pada saat tersebut mempelai dikehendaki menjawab dalam satu nafas dengan terang, jelas dan betul serta boleh didengar oleh tuan kadi dan kedua-dua saksi.
Jawapan lafaznya adalah seperti berikut : “Aku terima nikahnya polan binti polan dengan mas kahwin sebanyak $…..(tunai/hutang)”. Sekiranya mempelai tersebut menjawab dengan lambat, teragak-agak atau tidak terang, maka tuan kadi akan mengulangi sekali atau beberapa kali lagi lafaz akad tersebut sehingga dia dan kedua-dua saksinya berpuas hati dengan jawapan mempelai itu.
Setelah selesai, doa akan dibacakan oleh tuan kadi. Mempelai kemudiannya akan bangun bersalam-salaman bermula dengan tuan kadi, kemudian bapa mertuanya, dan akhir sekali dengan tetamu yang hadir sebelum diarak pulang ke rumahnya.
Bunga rampai dan sirih pinang yang dibawa oleh mempelai akan dibahagikan kepada tetamu yang hadir selepas jamuan diadakan manakala bekas-bekas kuih dan juadah serta buah-buahan yang diterima dari pihak lelaki akan dibalas oleh pihak perempuan dengan balasan yang berpatutan dan akan dibawa pulang oleh pihak lelaki ke rumah mempelai. Setelah mempelai berarak pulang, jamuan akan diadakan di rumah pengantin perempuan.
Biasanya di majlis akad nikah, kenduri secara besar-besaran tidak diadakan. Pihak pengantin perempuan hanya mengadakan jamuan kuih-muih atau nasi tetapi jenis dan bilangan lauk-pauknya tidaklah sebanyak lauk-pauk sewaktu kenduri bersanding. Ini kerana biasanya majlis akad tidak dihadiri oleh ramai tetamu luar, melainkan saudara-mara dan ahli keluarga.
No comments:
Post a Comment